DISEMBER 2021

Projek Bina Hospital Sri Aman II Mencabar - Fadillah


SIMANGGANG: Pelaksanaan Projek Hospital Sri Aman II di sini dianggap amat mencabar,  menurut Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menurut beliau, pihak kontraktor berhadapan dengan cabaran pelaksanaan skop kerja tanah bagi tujuan pembinaan hospital baharu berkenaan apabila permukaan tanahnya didapati tidak rata dan mempunyai gaung.

"Untuk pengetahuan, projek ini dibahagi kepada dua fasa. Fasa pertama ialah  skop kerja tanah manakala fasa kedua pula pembinaan bangunan dan kerja mekanikal.

"Bagaimanapun cabarannya muncul daripada skop kerja tanah apabila masa selama dua tahun diperlukan untuk memastikan tapak tanahnya sesuai sebelum kerja-kerja fizikal dimulakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Prapenyerahan Projek Hospital Sri Aman II di sini.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya turut memberitahu kos keseluruhan bagi menyiapkan projek tersebut sebanyak RM183 juta.

"Hospital Sri Aman II sudah pasti akan memberi kelegaan kepada penduduk di sini kerana mereka tidak perlu lagi bergantung kepada hospital di Kuching melainkan jika memerlukan khidmat perubatan yang tidak disediakan di sini," kata beliau.

Sementara itu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ketika berucap pada majlis itu memberitahu kerajaan sudah melulus penambahan sejumlah 548 penjawatan yang merangkumi pelbagai skim dan perkhidmatan di Hospital Sri Aman II.

"Jumlah asal penjawatan di Hospital Sri Aman II sebenarnya ialah 405. Justeru, dengan adanya penambahan itu maka Hospital Sri Aman II akan mempunyai sejumlah 953 penjawatan apabila mula beroperasi sepenuhnya nanti," kata beliau.

Hadir sama Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha KKR, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, Datuk Ir Mohamad Zulkefly Sulaiman dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Rosmawati Ariffin.

Sumber dari : Jiwa Bakti